xi_sma
sejarah
Home
sejarah
logo sekolah
lagu sekolah
album
pelajar
cool stuff
lagu generasi
berita
tazkirah agama
guestbook
forum
chat room

SEJARAH PENUBUHAN
SEKOLAH MENENGAH AGAMA KERAJAAN JOHOR

Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang merupakan sekolah menengah agama kerajaan negeri Johor yang pertama ditubuhkan pada 14 April 1988 dan pentadbiran sekolah ini diletakkan di bawah Jabatan Agama Islam Johor.

Latar belakang penubuhannya

i) Kerajaan Johor telah menubuhkan sekolah-sekolah rendah agama semenjak tahun 1918 dan sekolah-sekolah ini berkembang dengan pesat mengikut perkembangan semasa. Pada akhir tahun 1997, terdapat sebanyak 637 buah sekolah agama di Johor. Sebahagiannya mempunyai bangunan sendiri dan sebahagian menumpang sama ada di bangunan Sekolah Kebangsaan atau bangunan yang disediakan oleh Felda atau Felcra atau menumpang di balai raya, Balai Islam, kem tentera dan lain-lain.

ii) Jumlah murid sehingga November 1997 ialah sebanyak 182,512 orang. Purata nisbah guru berbanding murid masih lagi 1:70. Namun bagi sesetengah daerah seperti Johor Bahru, Segamat, Pontian dan Kluang, nisbahnya melebihi anggaran di atas.

iii) Walau bagaimanapun, sekolah rendah agama adalah terbatas setakat Darjah Khas dan tidak mempunyai saluran lain untuk pelajar-pelajar menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi seperi kolej dan universiti. Oleh sebab itu, tiada pelajar lepasan sekolah agama kerajaan Johor yang berkhidmat di Kementerian Pendidikan sebagai guru agama di sekolah menengah sehingga hari ini. Sementara guru-guru yang berkhidmat di sekolah rendah pula tidak diambil daripada kalangan lulusan Darjah Khas sebagaimana sebelumnya disebabkan oleh JPA telah meningkatkan syarat kelayakan kepada 4 Thanawi.

iv) Untuk memenuhi perkembangan dan keperluan pendidikan semasa, maka kerajaan Johor telah mengadakan beberapa siri seminar mengenai Pendidikan Agama di negeri Johor. Seminar terakhir dalam resolusinya telah memutuskan untuk meningkatkan Pendidikan Agama ke peringkat yang lebih tinggi telah diadakan pada tahun 1981 di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Bahru(MPTI)

v) Sebagai langkah pertama ke arah peningkatan Pendidikan Agama di negeri Johor, kerajaan negeri telah bersetuju menubuhkan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor di Kluang Johor pada tahun 1988.

TEMPAT BELAJAR

Semenjak ditubuhkan, Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor menjalankan kegiatan kurikulum(pembelajarannya) dan kegiatan ko-kurikulum dengan menumpang di bangunan Sekolah Rendah Agama Bandar Kluang. . Pada tahun 1988, sebanyak 175 pelajar generasi pertama telah masuk sebagai pelajar tingkatan 1. Mereka ini telah ditempatkan daloam 5 kelas yang setiap satunya sebanyak 35 pelajar. Mereka dicampurkan lelaki dan perempuan dalam kelas-kelas yang diberi nama Taimiyah, Arabi, Qayyim, Rusydi dan Sina.

Pada tahun 1989, mereka diasingkan lelaki dan perempuan mengikut kepandaian dan keputusan peperiksaan akhir tahun dan begitulah untuk tahun-tahun berikutnya. Pada tahun 1990, tingkatan 1 menumpang di Sekolah Sri Lalang dan tingkatan 2 dan 3 di Sek. Rendah Agama Bandar kluang.

Persekolahan pada tahun 1992 dijalankan dalam dua sesi. Sesi pagi untuk pelajar-pelajar tingkatan 3, 4 dan 5 yang berjumlah sebanyak 354 orang sementara sesi petang adalah untuk pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 2 yang berjumlah 259 orang. Pada tahun 1992 ini, SPM dijalankan kali pertama di SMAKJ.



TEMPAT PENGINAPAN

Oleh sebab sekolah ini meupakan sebuah sekolah berasrama penuh, maka kesemua pelajarnya tinggal di asrama. Pada peringkat awal, Jabatan Agama Islam Johor(JAIJ) telah menyewa 5 unit rumah kedai 3 tingkat yang mengandungi 15 bilik di Taman Kluang Jaya, Kluang untuk dijadikan asrama sementara. Di sinilah ditempatkan kesemua pelajar lelaki dan perempuan generasi pertama berjumlah 175 orang dengan diawasi oleh beberapa orang guru yang bertindak sebagai warden.

JAIJ telah menyewa beberapa unit bangunan kedai lagi untuk menampung pertambahan pelajar sejak 1988 hingga 1993 iaitu di:

i) 7 unit kedai 2 tingkat di Taman Intan, Kluang

ii) 6 unit rumah teres satu tingkat di Taman Intan, Kluang

iii) 5 unit rumah kedai dua tingkat mengandungi 10 bilik di Taman Sri Kluang, Kluang

iv) 4 unit rumah kedai dua tingkat , 13 bilik di Taman Desa, Kluang

Akhirnya, pelajar-pelajar ini dipindahkan apabila siapnya 4 blok asrama Putera dan Puteri Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor yang dibina di Bukit Mahkota, Jalan Hospital, Kluang. Kawasan ini seluas 21, 027 ekar dan beroperasi mulai 8 April 1993. Sekolah ini terletak di Jalan Sentosa off Jalan Hospital, Kluang. Labih kurang 1 ½ kilometer dari Bandar Kluang dan bersempadan dengan kem tentera Kluang dan Hospital Kluang. Sekolah ini juga berhampiran dengan Masjid Jamek Bandar Kluang dan perhentian Kereta api.

Blok asrama yang disediakan ialah:

a) Aspura Abbas

b) Aspura Hamzah

c) Aspuri Khadijah

d) Aspuri Aisyah


KOMPLEKS SEKOLAH MENENGAH AGAMA KERAJAAN JOHOR, KLUANG

Bangunan SMAKJ sekarang ini telah dimulakan pembinaannya mulai tahun 1991 dan siap sepenuhnya pada tahun 1995. Bangunan sekolah ini mengandungi 2 blok bilik darjah termasuk kemudahan berikut:

i) Dewan Besar Harun ar-Rasyid yang menempatkan hampir 800 orang

ii) 3 buah bilik makmal Sains

iii) 5 buah bilik Kemahiran hidup

iv) Perpustakaan

v) Bilik rawatan

vi) Bilik komputer

vii) Bilik Operasi SPBT

viii) Surau Abu Bakar as-Siddik

ix) Musolla untuk pelajar puteri

x) Dewan makan lelaki dan perempuan

xi) Kantin

Dan menjelang 2002, telah ada kemudahan berikut:

i) Dewan Kuliah Ibnu Khaldun

ii) Bilik Koperasi SMAKJ

iii) Astaka di padang SMAKJ

iv) 2 pos pengawal

v) Nurseri Kemahiran Hidup

vi) Bilik poligiat

vii) Rumah Pengetua dan Penolong Kanan

viii) Gazebo

ix) Bilik kaunseling

x) Bilik galeri

xi) Legar jamuan di sebelah Dewan Harun ar-Rasyid

xii) Gelanggang sepak takraw, badminton, bola tampar, tenis dan bola jaring

xiii) Rumah Hidroponik

xiv) Bangunan baru di belakang Dewan Harun ar-Rasyid yang dijangka beroperasi pada April 2002. Bangunan ini dimulakan pembinaannya pada tahun 1998 yang meliputi bangunan rumah guru, asrama putera dan asrama puteri dan 2 blok kelas.



TENAGA PENDIDIK SMAKJ

Pada awal penubuhannya, Pemangku Pengetua Tuan Haji Abu Bakar bin Sakek telah dibantu oleh 5 orang guru akademik dan 5 orang guru Arab. Bilangan tersebut telah bertambah dan silih berganti kerana pertukaran.

Pada tahun 1993, bilangan guru akademik yang bertugas di sekolah ini adalah sebanyak 18 orang dan guru Arab seramai 17 orang. Sebanyak 15 orang guru akademik adalah guru-guru yang dipinjamkan oleh Kementerian Pendidikan manakala sebanyak 3 orang lagi merupakan guru siswazah sandaran yang bekhidmat dengan JAIJ. Di kalangan guru Arab pula, mereka adalah tenaga pengajar dari sekolah rendah agama Johor kecuali seorang yang berkhidmat secara sandaran.

Pada tahun 2002, jumlah guru ialah sebanyak 51 orang. 11 orang daripadanya ialah guru tetap dan bakinya ialah guru kontrak. 24 orang ialah guru akademik dan 27 orang guru bahagian arab dan dibantu oleh 9 orang kakitangan pentadbiran.